Tuesday, December 14, 2010

Realiti Dunia

Kalau kita lelaki hensem, lelaki lain dengki,
Kalau kita hensem pun tidak, perempuan pula benci,
Kalau kita kaya - raya, orang kata kita hanya tahu bergaya,
Kalau kita miskin tak berharta, orang anggap kita hina,
Kalau kita orang berilmu, orang lain selalu cemburu,
Kalau kita bodoh & dungu, orang kata "siapa suruh malas berguru?"
Kalau kita buat baik seribu kali, takda siapa yang akan ingat,
Kalau kita buat jahat sekali saja pun, sampai kita mati orang masih akan umpat,
Kalau lelaki mengaku teruna, perempuan kata "masih budak",
Kalau lelaki mengaku bernoda, perempuan kata "dasar perosak",
Kalau kita anak jutawan, semua orang nak jadi kawan,
Kalau kita anak nelayan, semua orang buat tak layan,
Kalau kita buat jasa, orang kata buang masa,
Kalau kita buat dosa, orang kata cari binasa,
Kalau berbudi tak minta dibalas, orang kata kita pura - pura ikhlas,
Kalau berbudi harap berbalas, orang kata kita pemalas,
Kalau kita bicara fakta, kita akan teraniaya,
Kalau kita bicara dusta, tiada siapa ingin percaya,
Kalau kita katakan "sayang", orang kata kita temberang,
Kalau kita langsung tak bimbang, orang kata kita curang,
Kalau kita hidup berbakti, orang kata menagih simpati,
Kalau kita cuma memerhati, orang kutuk tak henti - henti,
Kalau kita persoalkan "mengapa terjadi sedemikian rupa?"
Jawapannya mudah, itulah REALITI DUNIA

Sunday, November 21, 2010

Apa nak jadi Malaysia?

Salam buat semua, salam buat pengantara,
Izinkan dimula, izin dari pengacara,
Nah, siapa tak kenal negara Malaysia?
Kononnya negara "terbaik" di Asia,
Bukan sombong, bukan tunjuk lagak,
Cuma ingin tunjuk mana betul mana tidak,


Tengok budak - budak main bawah pokok,
Tengok anak - anak muda lepak tepi pondok,
Kalau tak bersiul, kepul - kepul asap rokok,
Kononnya nak tunjuk macho "pro" merokok,
Gadis lalu, burung pun berbunyi,
Nampak bapa dia lalu, burung sembunyi,
Hai? apa dah jadi?
Mana pergi "macho" tadi?
Kalau hidup tak berani, baik mati,
Mungkin kasar, mungkin sakit hati,
Mungkin benci, juga iri hati,


Budi Bahasa Budaya Kita,
Elak prejudis, elakkan sengketa,
Tapi hari ini kita buat apa?
Masing - masing saling cuba jatuh air muka,
Sorang tuduh rasuah, sorang tuduh liwat,
Hanya kerna apa? "Hidup mewah, penuh nikmat?"
Sedar - sedarlah diri tu nak mati,
Kalau mati besok, liang lahad kita tak gali sendiri,


Kalau dia cakap, semuanya "ngam"
Bila kita cakap, semua kutuk JAHANAM!
Nak buat macam mana? sudah lumrah dunia,
Kita cuma kuli, dia pula menteri,
Kita "hamba abdi", dia itu VIP,
Buat projek, ikut sedap hati,
Bajet projek datang habis masuk kocek, masuk "tabung parti",
Apa nak kesali?
Memang dah azali,
Kaya tambah gaya tambah GAH,
Miskin pula tunggu jatuh rebah,


Pergi sekolah, belajar sampai pandai,
Pandai buat apa? "pandai memandai - mandai"
Buat apa saja untuk dapat nombor satu,
21A1?
Padahal gaya macam hantu,
Tiada guna pintar, kalau tak beradab,
Apa guna maju, kalau akhlak lembab,
Bukan kurang ajar tapi kurang pengajaran,
Sampai jadi celupar, tak pandai guna akal fikiran.,


Sedarlah sedar wahai "bangsa mulia",
Sampai masa nanti, kita semua akan lenyap dari dunia,
Dunia bukan hak milik kita,
Begitu juga semuanya,


Wasalam...

Saturday, September 18, 2010

Bila agama di'KOMERSIAL'kan...

    Bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri ini, ingin saya memohon maaf diatas segala kesilapan & kekurangan saya dalam menyampaikan luahan minda saya ini. Tidak juga dilupakan, kepada seluruh rakyat Malaysia, selamat Hari Malaysia. Kali ini, mesej saya bukanlah mengenai isu semasa atau politik, tetapi mengenai "penyakit" mental yang dihadapi oleh hampir seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa jua agama yang dianuti.
    Pantang kalau tiba musim perayaan, mesti keluar segala perhiasan, perkakasan, 'perabot'an baru. Walaupun hakikatnya, kita bukan beraya nak beli barangan baru dalam rumah. Kepada yang muslim, perayaan Hari Raya Puasa ataupun Aidil Fitri asalnya bertujuan untuk meraikan kejayaan setelah sebulan berpuasa menahan, mengekang, membendung & melawan nafsu. Pada bulan puasa jugalah kita berusaha untuk memperbaiki kekurangan rohani, cuba untuk memperbaiki diri kita di depan "mata" Yang Maha Pencipta. Sehinggakan, di bulan puasa, kebanyakan orang - orang yang biasanya tersangat tak senonoh boleh jadi tersangat berakhlak.
   
    Sesungguhnya, itu amat baik, kerana dunia ni dah hampir "kehabisan stok" orang - orang baik & mulia.
Tapi yang jadi tak baiknya tu, jadi baik sebulan saja. Habis puasa, balik macam Jembalang. Semua perangai tak baik pun ikut sama datang balik. Ibarat, sewaktu berpuasa, semua keburukan tingkah laku pergi meniggalkan kita jauh - jauh, tapi bila Raya, ketika kita sibuk nak balik kampung, segala perangai buruk tu pun ikut juga "balik kampung". Ikut kembali bertakhta kat dalam hati kita. Nampak sangat Iman ibarat buih di lautan, dan bila semua perangai tu dah datang balik, maka kita pun dah lupa tujuan asal kenapa kita beraya. 
    Tempah baju raya 6 bulan sebelum Ramadhan, bayangkan..? Tiap tahun sepasang, pakai sekali je, pastu beli lagi yang baru. Nampak sangat tak bersyukur. Dah tu, ada juga yang baru puasa dua hari, tapi dah bergema lagu raya sampai sekampung dengar. Dia tak persiapkan diri untuk berpuasa, tapi untuk beraya. Apa nak jadi..? Hidup sebagai Muslim, bukan untuk itu semua. Lain lagi ceritanya kalau nak berhias rumah, dihamburlah segala "KALER LAIT" sampai rumahnya bergemerlapan macam Istana Sultan Brunei("Ampun Tuanku"). Waktu puasa dia berjimat mati - matian, waktu raya pula, dibazirkan segala yang dah dijimatkan untuk benda yang bukan - bukan. Wahai manusia yang lalai, para kamu yang terlalu sering 'alpa,lupa & leka'. Musim perayaan bukanlah medan untuk "menyukat" kekayaan. Tak ada masalah kalau disambut bersederhana. Usahlah nak ditimbulkan perasaan ingin bersaing dengan "Negara" sebelah rumah. Kalau masih ada yang masih boleh diguna pakai, manfaatkanlah. Jangan terus dibuang hanya kerana rupanya yang dah lusuh.

Thursday, August 19, 2010

Janji yang Hilang

Pernah satu ketika, hidupnya seorang Paduka,
anak raja pewaris takhta, kesultanan Melayu dahulu kala,
Penyatu bangsa merentas samudera,
Membebas Sabah dari penjajah,
jasa Melayu dilupa tak mudah, seketika Malaysia berdiri gagah,
Kononnya merdeka itu sesuatu yang indah...

Namun, masa itu penentu segala, menjadi saksi keangkuhan manusia,
kerna, sejarah menceritakan,
dengan setiap kejayaan, akan hadir kesombongan,
Hari yang berganti, pemimpin yang beralih,
setiap janji diberi rupanya dalih,
Maaf tuan yang telah berbudi,
bukan diri tak mengenang budi, tetapi ingin mengharapkan memori,
"Ingatkah tuan janji diberi? Masih di hati ataupun telah pergi?"

Kerana kami masih di sini, masih tetap setia menanti,
akan janji yang telah lebur, segala janji yang pernah ditabur,
Hati ini sentiasa akur,
bukan tak cuba untuk menegur, tapi tuan tak faham tutur,
walau ucapan seindah syurga, hanyalah bicara madah semata,
tak lebih dari tipu dan dusta...

Yang ditagih bukanlah sengketa,  hanyalah peringatan "20 Perkara",
yang hilang entah pergi ke mana, 47 tahun tak kunjung tiba...

Kalian beri kebebasan bersuara, kalian izin luahan kata,
"Tetapi mengapa, wahai saudara? Pewarta benar kalian penjara?"
Yang kami suarakan, kalian diamkan, kalian rahsiakan menjadi dongengan,
kononnya kami pencetus pergaduhan, golongan radikal anti-kerajaan...

Namun kami tidak tergugat, kerana yang benar tak boleh diikat,
dihambat, disekat, atau dilumat,
Kerana langit tak cerah selamanya,
Selepas mendung kan muncul cahaya,
Oleh itu, wahai pemimpin, hamba mohon maaf dan izin, bukan rakyat lawan pemimpin,
bukan niat untuk menjatuh, sekadar luahan hati yang luruh...

Diri ini jangan tuan hakimi, kerana hamba tak perlu diadili,
sebaiknya tuan bersikap adil, sebelum tiba pengadilan Ilahi,
Pilihanraya tuan permainkan, sebagai alat menjaga kepentingan,
peluang untuk janji ditaburi, menipu kami yang tak menyedari,
"Tidakkah itu menzalimi, lebih dari Kaum Yahudi?",
Sekali lagi, diperingatkan, kerana diri sedang merisaukan,
Takut senjata makan tuan...

Monday, August 16, 2010

Lagu Raya...????

Berlalu la sudah Ramadhan,
Sebulan tak puasa,
Tiba Syawal kita rayakan,
Kalau tak rasa bersalah,

Anak muda di sempadan,
Semuanya pulang ke Indon,
Ibu & ayah kebingungan,
Melatah tak terkira,

Bertukar rengusan & muram,
Saling memaki,
Tutur & kata tak sopan.
Tak boleh maafi,

Suasana Hari Raya,
Hanya dekat rumah saya,
Marilah datang beraya,
Kalau kau boleh jumpa,

**

Kuih & muih beraneka macam,
Janganlah makan teruskan pandang,
Ketupat rendang sila nikmati kawan,
Baru dimasak tapi dah basi,

Wajik & dodol jangan lupakan,
Peninggalan nenek dalam wasiat,
Asyik bersembang pakcik & makcik,
Aduh, duit raya macam tak nak bagi.




Pengajarannya : Takda guna beraya sakan kalau tak puasa, dah tu nafsu mengalahkan setan.

Monday, August 9, 2010

Kawan dan Lawan

"Mulut orang, perosak reputasi, pembunuh motivasi, mereka pakar fabrikasi, modifikasi. Di depan senyum, belakang terdiam cemburu, mungkin teman kita sendiri, siapa tahu..?"

Dari apa yang ternyata di atas, kita mungkin tertanya, apa kena - mengena? Lumrah dunia, di manapun kita, tetap akan ada sahaja yang mendengki dan iri hati. Tetapi, siapa yang mendengki? Itu persoalannya. Pastikah anda yang kawan anda itu seorang yang ikhlas, atau hanya ingin menjejas? Sebagai manusia, kita mudah mempercaya, mudah juga termakan tipu daya. Setiap kita mempunyai impian, mempunyai harapan, dan keinginan. Setiap hari juga, kita berusaha untuk mencapai dan mengecapi apa yang kita hajatkan. Oleh sebab itu, kita mencari 'kawan'. Kawan adalah individu terdekat yang kita letakkan kepercayaan kita pada mereka. Mereka adalah orang yang akan melihat kita bangkit untuk berjaya, paling tidak, membangkitkan kita untuk berjaya. Namun, tidak semua kawan adalah pemangkin untuk kita memajukan diri. Kadang - kadang, mereka menjadi pencuri impian, perosak harapan, dan "pemotong jalan". Oleh sebab itu, kita harus berhati - hati apabila memilih orang untuk dijadikan kawan. Ada juga yang pada mulanya sanggup bertahan di sisi kita, mempertahankan kita, menjaga kita dari sebarang ancaman ketika kita senang. Tetapi pada akhirnya, mengungkit, membangkit kembali segala "pengorbanan" yang telah ia lakukan di saat kita kesusahan. Ini jenis kawan yang munafik, tidak ikhlas, berkawan hanya untuk mengharapkan balasan dan ganjaran. Kalau ada 10 kawan macam ni, hujung - hujung tak ke manalah kita jawabnya. Kawan jenis ini ialah kawan yang tidak membina tetapi membinasa.

Namun begitu, ada juga kawan yang sanggup bertahan bersama kita tidak kira betapa perit derita yang terpaksa ditempuh. Kawan sejati yang menerima kita senang atau susah, sanggup bersusah bersama kita daripada bersenang dengan orang lain. Kawan yang tidak akan pernah mencuba untuk menghalang kemajuan kita. Kawan yang gembira melihat kita gembira, bukan kawan yang akan dengki dengan kesenangan kita tetapi gembira dengan kesusahan kita. Hakikatnya, setiap orang di dunia ini ingin menyakiti kita tetapi tidak pula ada sesiapa pun yang mahu dirinya disakiti. Apatah lagi di dalam dunia yang semakin buta oleh kebendaan. Kawan yang baik amatlah susah untuk ditemukan. Jadi pilihlah kawan yang akan berdiri di belakang kita, yang akan memastikan kita terus berdiri, walau kita terjatuh lebih dari berkali - kali.

Wednesday, August 4, 2010

Tradisi Kekalkan, Adaptasi Harus Betul

Pernahkah anda mendengar lagu Mantera Beradu..?
Ada orang berkata tentang kekarutan lagu itu, dan untuk itu, mereka telah memperbodohkan diri mereka tanpa syarat(Bodoh Tidak Bersyarat). Mungkin ada yang hanya sekadar mendengar sahaja, mungkin juga ada yang cuba untuk mendalami maksud tersirat di dalam lagu itu. Semestinya, yang indah itu bukan pada melodi, tetapi penggunaan frasa yang cukup menarik jika kita fikirkan dengan lebih dalam."Tradisi Kekalkan, Adaptasi Harus Betul", mengapa frasa ini menarik..?

Sejarah yang kita pelajari membuktikan bahawa manusia tidak pernah mempelajari apa - apa pun dari sejarah. Mengapa..? Bagi setiap tamadun yang pernah wujud, semuanya menjadi "tidak wujud" kerana kesilapan yang dipandang remeh. Kaitannya dengan topik di atas, sangat mudah. Tidak ada prinsip & pegangan yang kukuh. Tabiat mencontohi itu sebenarnya sesuatu yang sangat baik, ia membantu kita mempelajari sesuatu melalui pengalaman yang kita dapat bila mana kita mencontohi sesuatu. Namun begitu, "sesuatu" yang kita contohi itu haruslah sesuatu yang mendatangkan manfaat, bukannya sesuatu yang mendatangkan malu. Disebabkan "Pembasuhan Minda" yang telah dilakukan oleh orang Barat, hampir setiap aspek dalam hidup masyarakat kita hari ini telah hilang kemurniannya. Contoh pertama yang paling jelas ialah fesyen. Fesyen ialah gaya atau tatacara pemakaian yang tercetus melalui kreativiti pencipta atau pereka fesyen.
Ketidakbetulannya terjadi apabila pakaian yang kelihatan seperti cebisan kain buruk terpakai diiktiraf sebagai satu keperluan. Sejak bilakah baju yang tidak siap boleh digelar baju..? Dari sini, kita melihat betapa cacatnya idealogi Barat yang kita terima bulat - bulat tanpa sebarang persoalan. Aspek kedua, seni. Amat mengejutkan bila ada di kalangan kita yang melihat & menganggap lukisan seseorang yang sedang berbogel itu seni. Seni itu sebenarnya sesuatu yang indah, menyenangkan mata, menenangkan jiwa. Bagaimana hati boleh tenang kalau melihat benda yang boleh menaikkan nafsu..? Kalau dahulu, hanya melihat, tetapi sekarang, ditiru dan diikut. Mana pergi budaya ketimuran yang kononnya kita pertahankan..? Kerana setiap hari, kita semakin kehilangan identiti, mengikut jejak manusia yang telah lama hilang kemanusiaannya..

Seandainya kita ingin meniru, tirulah yang baik, ikutlah yang baik, dan jadi yang terbaik. Tidak ada gunanya jika hanya menjadi yang terbaik bagi yang terburuk.

Erti Sebuah Nama

Nama... Apa erti sebuah nama..? Hanya sekadar perkataan yang wujud agar mudah bagi kita untuk mengenali sesuatu. Tapi pernahkah anda fikirkan, siapakah kita tanpa nama yang kita miliki...? Mentaliti yang rosak pada masa kini menyebabkan sesetengah manusia itu menjadi buta. Seperti yang melanda anak - anak muda sekarang ini. Begitu indah nama yang diberi oleh ibu bapa, tetapi masih tidak tahu menghargai. Menukar nama yang elok kepada nama yang bukan - bukan. Sangat cetek pemikiran.. Kalau dahulu, nama 'Ali' pun dah cukup bangga, "Akulah Ali, kalau bukan Ali, itu bukan aku". Apa sudah jadi pada pemikiran yang sepatutnya semakin maju..?? Kalau masa sekarang beginilah situasinya "Nama saya Rex, kawan - kawan panggil T-REX" . Buat apa la nak gelarkan diri tu T-REX..? Kata ingin maju, mengapa mahu dicontohi sang T- REX yang dah berkurun pupus ditelan zaman.?Dengkikan nama orang lain yang lebih baik...?? Sesungguhnya, nama yang kita miliki itulah yang paling baik, tak perlu menipu diri sendiri, buruk mana pun, kita tetap kita. Cara yang paling asas untuk kita menyayangi diri kita ialah dengan mensyukuri nama kita. Itulah identiti kita. Macam mana nak menyayangi diri kalau nama pun tak sanggup diakui...?? Dari situ, merebaklah pula kepada benda - benda yang lebih teruk. Dah nama pun dia tak suka, apa lagi tubuh badan..? Itu la yang membawa sampai ke Rempit, Bohjan & Bohsia'ism', Hisap dadah, Hidu gam, Bunuh diri, Bunuh orang. Nak buat macam mana...? Nama sendiri pun dia tak sayang, apa dia peduli kalau ada apa - apa jadi kat dia. Jadi, hayatilah maksud di sebalik nama anda. Hayati nama, fahami erti, sayangi diri.

Percubaan Pertama

Sebelum madah dimula, rasanya lebih baik sekiranya watak & peranan itu kita kenali.
Semua yang tertulis di dalam blog ini adalah pandangan tentang dunia dari sudut pandangan saya terhadap dunia ini. Watak kita sebagai manusia yang mendiami muka bumi ini. Sedari fungsi diri, tujuan kewujudan kita. Mungkin akan kedengaran agak kolot atau "old school", tetapi untuk memahami sesuatu, kita harus meneliti setiap aspek dan kemungkinan yang ada tidak kira sekolot mana.