Pernah satu ketika, hidupnya seorang Paduka,
anak raja pewaris takhta, kesultanan Melayu dahulu kala,
Penyatu bangsa merentas samudera,
Membebas Sabah dari penjajah,
jasa Melayu dilupa tak mudah, seketika Malaysia berdiri gagah,
Kononnya merdeka itu sesuatu yang indah...
Namun, masa itu penentu segala, menjadi saksi keangkuhan manusia,
kerna, sejarah menceritakan,
dengan setiap kejayaan, akan hadir kesombongan,
Hari yang berganti, pemimpin yang beralih,
setiap janji diberi rupanya dalih,
Maaf tuan yang telah berbudi,
bukan diri tak mengenang budi, tetapi ingin mengharapkan memori,
"Ingatkah tuan janji diberi? Masih di hati ataupun telah pergi?"
Kerana kami masih di sini, masih tetap setia menanti,
akan janji yang telah lebur, segala janji yang pernah ditabur,
Hati ini sentiasa akur,
bukan tak cuba untuk menegur, tapi tuan tak faham tutur,
walau ucapan seindah syurga, hanyalah bicara madah semata,
tak lebih dari tipu dan dusta...
Yang ditagih bukanlah sengketa, hanyalah peringatan "20 Perkara",
yang hilang entah pergi ke mana, 47 tahun tak kunjung tiba...
Kalian beri kebebasan bersuara, kalian izin luahan kata,
"Tetapi mengapa, wahai saudara? Pewarta benar kalian penjara?"
Yang kami suarakan, kalian diamkan, kalian rahsiakan menjadi dongengan,
kononnya kami pencetus pergaduhan, golongan radikal anti-kerajaan...
Namun kami tidak tergugat, kerana yang benar tak boleh diikat,
dihambat, disekat, atau dilumat,
Kerana langit tak cerah selamanya,
Selepas mendung kan muncul cahaya,
Oleh itu, wahai pemimpin, hamba mohon maaf dan izin, bukan rakyat lawan pemimpin,
bukan niat untuk menjatuh, sekadar luahan hati yang luruh...
Diri ini jangan tuan hakimi, kerana hamba tak perlu diadili,
sebaiknya tuan bersikap adil, sebelum tiba pengadilan Ilahi,
Pilihanraya tuan permainkan, sebagai alat menjaga kepentingan,
peluang untuk janji ditaburi, menipu kami yang tak menyedari,
"Tidakkah itu menzalimi, lebih dari Kaum Yahudi?",
Sekali lagi, diperingatkan, kerana diri sedang merisaukan,
Takut senjata makan tuan...